HEBAHAN CAKNA "CMeOSH" BIL. 32/2020 (KALI KE-261) '' KURSUS HAZARD IDENTIFICATION, RISK ASSESSMENT AND OPPORTUNITIES (HIRAO) & JOB SAFETY ANALYSIS (JSA) ''

Kursus Hazard Identification, Risk Assessment and Opportunities (HIRAO) & Job Safety Analysis (JSA) telah diadakan pada 07 – 08 September 2020 (Isnin - Selasa) bertempat di Bilik Seminar 2, Aras 2 Pejabat Pendaftar, Bangunan Canselori yang mana telah dihadiri lebih kurang 35 orang peserta. Penceramah kursus ini ialah YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Rasdan Bin Ismail Pengarah, Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) dan dibantu oleh staf CMeOSH.

Penganjuran kursus HIRAO ini bertujuan untuk memberi pendedahan, pendekatan yang sistematik serta pengetahuan kepada warga UMK berkenaan untuk mengenal pasti, menilai / mengukur dan mengawal bahaya, risiko dan peluang mana-mana tempat kerja dan aktiviti-aktivitinya. Ia merupakan satu daripada kewajipan am majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), di mana majikan perlu menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerjanya dan orang lain yang berkenaan serta ia mematuhi Seksyen 15 (2) ( C ) untuk menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk memastikan setakat yang praktik keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa waktu bekerja.

Semoga warga UMK mendapat manfaat dan panduan serta pemahaman lebih jelas berkaitan pendedahan kepada bagaimana menaksir hazad dan menganalisis risiko yang berkaitan, yang mana ianya akan dapat memberikan pengukuran bagi sesuatu hazad yang telah dikenalpasti, seterusnya menyediakan kaedah bagi mengawal risiko berkaitan. HIRAO juga telah menjadi amat penting dalam amalan untuk merancang, mengurus dan melaksanakan sesuatu operasi sesebuah organisasi sebagai perkara asas kepada pengurusan risiko.

Justeru itu, ia juga dapat mempromosikan pembentukan BUDAYA KERJA SELAMAT bagi mencapai KEMALANGAN SIFAR di UMK serta meningkatkan kerjasama antara majikan dan pekerja berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja. Kerjasama dan perhatian warga UMK dalam hal ini amatlah penting bagi memastikan semua warga UMK dalam keadaan SELAMAT dan SIHAT.