HEBAHAN CAKNA "CMeOSH" BIL. 33/2020 (KALI KE-262) ''PEMATUHAN KEPADA PERATURAN, GARIS PANDUAN DAN SOP PENCEGAHAN COVID-19 DI UMK ''

Dunia dijangka terus berhadapan dengan penularan wabak COVID-19. Untuk itu satu kebiasaan baharu dalam kehidupan amat penting bagi mencegah penularan COVID-19.

Sepertimana warga UMK sedia maklum, Perkara No. 3 Pekeliling Pentadbiran Bil.24/2020 (Penggunaan Aplikasi Mysejahtera Di Universiti Malaysia Kelantan) dan Mesyuarat Pelarasan Tatacara Penguatkuasaan Pematuhan Kepada Peraturan, Garis Panduan Dan SOP Pencegahan COVID 19 Di Tempat Kerja (Dalam Kampus UMK) telah memutuskan supaya setiap PTj/Fakulti membuat pendaftaran QR Kod MySejahtera dan mempamerkan QR Kod tersebut mengikut senarai ruang yang terdapat di PTj/Fakulti masing-masing. Bagi penganjuran aktiviti/ majlis  rasmi  dan mesyuarat, pihak urusetia aktiviti/majlis rasmi diwajibkan mendaftarkan QR Kod MySejahtera masing-masing dan perlu memastikan  semua tetamu menggunakannya sebelum dibenarkan masuk ke majlis. Disamping itu juga setiap PTj/Fakulti yang bertindak sebagai penganjur juga perlu memastikan kawalan pencegahan dilaksanakan melalui penyediaan stesen-stesen sanitasi termasuk penyediaan topeng muka dan penjarakan sosial yang sesuai.

Sehubungan itu, demi menunaikan tanggungjawab bersama bagi pencegah penularan COVID-19 adalah dimohon jasa baik warga UMK untuk mendaftar dan mempamerkan QR Kod MySejahtera di lokasi-lokasi strategik sepertimana yang diputuskan, memakai topeng muka di tempat awam berpopulasi tinggi dan mengadakan penjarakan sosial. Adalah menjadi tanggungjawab semua warga UMK juga untuk mengimbas (scan) QR Kod MySejahtera yang telah dipamerkan sebelum memasuki @ menggunakan sesuatu tempat/ruang. Sehingga kini pematuhan penggunaan QR Kod MySejahtera dikalangan warga UMK telah mencapai 90% peratus sepertimana yang dilaporkan oleh Bahagian Keselamatan UMK sebagai penguatkuasa dalam amalan Pencegahan COVID-19 di UMK. Kerjasama dan perhatian warga UMK dalam hal ini amatlah penting bagi memastikan semua warga UMK dalam keadaan SELAMAT dan SIHAT.