HEBAHAN CAKNA BIL.7/2021 (KALI KE-282) “WEBINAR PENGENALAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN”

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

10 Februari 2021 (Rabu)- Universiti Malaysia Kelantan melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) telah mengadakan sesi Webinar iaitu Pengenalan Kepada Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Webinar ini telah dilangsungkan secara atas talian dan telah dihadiri lebih daripada 181 peserta terdiri daripada warga UMK dan pihak luar. Penceramah Webinar ini adalah daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Kelantan iaitu YBrs. Encik Mohd Kudzi Hamat (Penolong Pemeriksa Kilang dan Jentera Kanan).

Tujuan Webinar ini adalah untuk memberi pendedahan, kesedaran seterusnya memupukkan amalan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tempat kerja. Ini adalah selaras pematuhan kepada Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (AKKP)  1994 bagi memastikan semua organisasi mengambil berat tentang semua pekerja di tempat kerja dalam aspek KKP serta mematuhi Seksyen 15 (2) ( C ) bagi untuk menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk memastikan setakat yang praktik keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa waktu bekerja.

Tahniah diucapkan kepada Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang telah menganjurkan program bermanfaat ini dan dapat mempromosikan amalan BUDAYA KERJA SELAMAT bagi mencapai KEMALANGAN SIFAR di UMK serta meningkatkan kerjasama antara majikan dan pekerja dalam aspek KKP. Kerjasama dan perhatian warga UMK dalam hal ini amatlah penting bagi memastikan semua warga UMK dalam keadaan SELAMAT dan SIHAT.