HEBAHAN CAKNA BIL.8/2021 (KALI KE-283) "MESYUARAT JAWATANKUASA KECIL KOMPETENSI NOISE RISK ASSESSOR"

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

YBhg. Prof. Dato'/Prof. Datuk/Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan,

Universiti Malaysia Kelantan melalui Pengarah, Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) iaitu YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Rasdan Bin Ismail selaku Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Peperiksaan Kompetensi Penaksir Bunyi Bising Higen Industri telah menghadiri satu Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kompetensi Noise Risk Assessor (Penaksir Risiko Bunyi Bising) bersama pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia dan National Institute Of Occupational Safety and Health (NIOSH) Malaysia yang telah diadakan pada 12 Februari 2021 (Jumaat) dan 19 Februari 2021 (Jumaat).

Tujuan mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan hala tuju kriteria dan semakan semula penilaian peperiksaan kompetensi penaksir bunyi bising (NRA) berdaftar selaras dengan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pendedahan Bising) 2019 [P.U. (A) 60] yang diwartakan pada 1 Mac 2019 dan berkuatkuasa pada 1 Jun 2019.

Penglibatan UMK bersama di peringkat Kebangsaan dalam Jawatankuasa Peperiksaan Pensijilan Orang Yang Kompeten dan Penaksir Bunyi Bising berdaftar di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ini diharapkan dapat membawa jenama UMK secara strategik dalam amalan terbaik dan kepakaran di bidang Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan di peringkat negara. Mudah-mudahan budaya kerja selamat dan sihat akan terus berkekalan di kalangan warga UMK seterusnya menjadi nadi penggerak kepada pembudayaan OSH buat masyarakat sekelilingnya.