HEBAHAN CAKNA BIL.12/2021 (KALI KE-287) ''PENILAIAN RISIKO BUNYI BISING OLEH CMEOSH DI TEMPAT TEMPAT KERJA BAGI MENCEGAH MASALAH KESIHATAN PENDENGARAN KEPADA PEKERJA''

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

YBhg. Prof. Dato'/Prof. Datuk/Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan,

Satu penilaian bunyi bising telah dijalankan di Bilik Perbincangan Pejabat Pendaftar, Aras 2, Universiti Malaysia Kelantan Bachok pada 21 Mac 2021 (Ahad) oleh pasukan Pusat Pengurusan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) diketuai oleh Pengarah CMeOSH selaku Penilai Risiko Bunyi Bising Berdaftar dengan Jabatan KKP (DOSH HQ/OYKPEB(R)/19/0074) dan Perunding Subjek Bunyi dan Getaran Berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (DOE SS0648). Ini adalah hasil laporan aduan Pengenalpastian Hazad, Penilaian Risiko dan Penilaian Peluang (HIRAO) oleh Pejabat Pendaftar pada 14 Mac 2021 (Ahad).  

Permonitoran ini dijalankan adalah bagi menilai tahap pendedahan bunyi bising di dalam ruangan kerja ekoran daripada aduan bunyi bising dari warga UMK yang berkemungkinan terhasil dari sistem penghawa dingin.

Pendedahan kepada bunyi bising secara berterusan untuk jangka masa panjang dikhuatiri akan mendatangkan kesan buruk dari segi fisiologi dan psikologi kepada staf-staf terlibat. Mengikut Garis Panduan Had dan Kawalan Bunyi Bising Alam Sekitar 2019 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS/DOE) menunjukkan tahap bunyi yang dibenarkan dari jam 7:00 pagi – 10:00 malam adalah 55 dB(A) dan dari jam 10:00 malam – 7:00 pagi adalah 50 dB(A) bagi bunyi di kawasan sensitif, kediaman berkepadatan rendah, institusi (sekolah, hospital), kawasan ibadat.

Semoga dengan penilaian risiko bunyi bising ini, kawalan pencegahan dapat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan pekerja dan sekaligus memastikan semua warga UMK dalam keadaan SELAMAT dan SIHAT.