HEBAHAN CAKNA "CMeOSH" BIL.18/2021 (KALI KE-293) “KURSUS ERGONOMIK DI TEMPAT KERJA’’

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

YBhg. Prof. Dato'/Prof. Datuk/Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan,

Kursus Ergonomik Di Tempat Kerja anjuran Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (HRD), Pejabat Pendaftar dengan kerjasama Pusat Pengurusan Persekitaran Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH), Pejabat Naib Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah diadakan secara atas talian melalui aplikasi Microsoft Teams pada 26 April 2021 (Isnin). Kursus ini telah dihadiri oleh 333 orang peserta dan disampaikan oleh YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Rasdan bin Ismail iaitu Pengarah Pusat Pengurusan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH) selaku Jurulatih Bertauliah dan Orang Terlatih Ergonomik Berdaftar di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia bagi Initial ERA (DOSH ID.1069) and Advanced ERA (DOSH ID. 82).

Dengan menghadiri kursus ini, peserta diberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan perundangan untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam ergonomik dititikberat serta dipantau secara holistik. Selain itu, kursus ini juga memberi penekanan tentang kepentingan ergonomik terhadap kesihatan, mengenalpasti jenis-jenis kecederaan otot rangka dan elemen-elemen tekanan berkaitan dengan persekitaran pejabat. Peserta juga boleh menjalankan penilaian untuk setiap aktiviti kerja berdasarkan panduan penilaian ergonomik yang disampaikan secara atas talian mengikut garis panduan disarankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia. Ini juga selaras pematuhan kepada kehendak  Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 Seksyen 15 (2) ( C ) untuk menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk memastikan setakat yang praktik keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa waktu bekerja dan ISO 45001:2018 (Sistem Pengurusan KKP) OHSMS.

Semoga dengan adanya kursus seperti ini, dapat memberikan manfaat, panduan, pemahaman lebih jelas berkaitan posisi/ postur tubuh badan dan cara kita bekerja dengan betul seterusnya menjadikan ianya sebagai amalan cara hidup yang sihat. Justeru itu, ia juga dapat mempromosikan pembentukan BUDAYA KERJA SELAMAT bagi mencapai KEMALANGAN SIFAR di UMK serta meningkatkan kerjasama antara majikan dan pekerja. Kerjasama dan perhatian warga UMK dalam hal ini amatlah penting bagi memastikan semua warga UMK dalam keadaan SELAMAT dan SIHAT.