HEBAHAN CAKNA "CMeOSH" BIL.20/2021 (KALI KE-295) “PERSEKITARAN KUALITI UDARA DALAMAN’’

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

YBhg. Prof. Dato'/Prof. Datuk/Prof./Prof. Madya/Dr./Tuan/Puan,

Kualiti udara dalaman menerangkan bagaimana udara dalaman boleh memberikan kesan kepada kesihatan, keselesaan dan kebolehan untuk bekerja. Antara aspek yang mempengaruhi kuaIiti udara dalaman adalah suhu, kelembapan relatif, kulat, bakteria, pengudaraan yang tidak baik, dan juga pendedahan kepada bahan kimia. Kesedaran mengenai pencemaran udara dalaman adalah kurang jika dibandingkan dengan pencemaran udara luaran.

Kualiti udara dalaman yang tidak baik akan menyumbang kepada ketidakselesaan, kesan kepada kesihatan, ketidakhadiran kerja dan produktiviti yang rendah. Kualiti udara dalaman yang baik akan memberi kesan kepada kesihatan yang baik kepada penghuni bangunan sekaligus menyumbang kepada keselesaan dan kesejahteraan. Antara kesan kesihatan yang disebabkan oleh kualiti udara dalaman yang tidak baik adalah penyakit Legionnaires, kanser akibat pendedahan radon dan keracunan karbon monoksida. Bagi impak kesihatan yang lebih meluas adalah seperti kesan alahan dan asma akibat pendedahan kepada bahan pencemar seperti habuk dan kulat, ketidakselesaan akibat kesejukan melampau, penyakit berjangkit melalui udara dan simptom-simptom Sindrom Bangunan Sakit seperti pening dan sakit kepala, keletihan melampau, masalah kulit dan lain-lain.

Sehubungan itu, bagi meningkatkan pematuhan tempat kerja dan kesedaran kepada persekitaran dalaman dan luaran dilampirkan Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 untuk makluman dan perhatian warga UMK. Kerjasama dan perhatian warga UMK dalam hal ini amatlah penting bagi memastikan semua warga UMK dalam keadaan SELAMAT dan SIHAT.