
8 Jun 2026 – Pusat Pengurusan Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (CMeOSH), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menyumbang kepakaran dalam Program Occupational Safety and Health (OSH) in School yang dianjurkan melalui kolaborasi antara TNB Genco Stesen Jana Kuasa Sultan Ismail Petra, Pergau Jeli dan Sekolah Menengah Sains Jeli.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) serta memupuk budaya keselamatan dalam kalangan warga sekolah melalui pendekatan pendidikan dan pemantauan berasaskan kepakaran.
Dalam program tersebut, CMeOSH telah melaksanakan beberapa aktiviti pemantauan dan penilaian yang merangkumi aspek ergonomik, pengurusan risiko bahan kimia dan kualiti udara dalaman (IAQ) di persekitaran sekolah.
Penilaian ergonomik telah diketuai oleh Ts. Dr. Darliana binti Mohamad (Pengarah CMeOSH), manakala penilaian pengurusan risiko bahan kimia telah diketuai oleh ChM. Ts. Dr. Noor Shuhadah binti Subki daripada Fakulti Sains Bumi. Selain itu, pemantauan kualiti udara dalaman (IAQ) diketuai oleh Encik Ahmad Farhan Shauki bin Sulong daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur bersama pasukan CMeOSH.
Melalui pelaksanaan aktiviti pemantauan dan penilaian ini, warga sekolah didedahkan kepada kepentingan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, sihat dan kondusif. Program ini turut memberi penekanan kepada amalan pencegahan risiko, pengurusan persekitaran dalaman yang berkualiti serta kepentingan ergonomik dan pengurusan bahan kimia yang selamat.
Penyertaan CMeOSH dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan UMK dalam menyokong usaha pemerkasaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja di peringkat institusi pengajian tinggi, malah turut melibatkan komuniti pendidikan sekolah.
UMK merakamkan penghargaan kepada TNB Genco Stesen Jana Kuasa Sultan Ismail Petra, Pergau Jeli dan Sekolah Menengah Sains Jeli atas kepercayaan serta kerjasama yang diberikan. Diharapkan jalinan kolaborasi strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih selamat dan sejahtera.